Suatu masa dahulu, terdapat sebatang pokok epal yang amat besar.
Seorang kanak-kanak lelaki begitu gemar bermain-main di sekitar pokok epal ini
setiap hari. Dia memanjat pokok tersebut, memetik serta memakan epal
sepuas-puas hatinya, dan adakalanya dia berehat lalu terlelap di perdu pokok
epal tersebut. Budak lelaki tersebut begitu menyayangi tempat permainannya.
Pokok epal itu juga menyukai budak tersebut.
Masa berlalu... budak lelaki itu sudah besar dan
menjadi seorang remaja. Dia tidak lagi menghabiskan masanya setiap hari bermain
di sekitar pokok epal tersebut. Namun begitu, suatu hari dia datang kepada
pokok epal tersebut dengan wajah yang sedih. "Marilah bermain-mainlah di
sekitarku," ajak pokok epal itu. "Aku bukan lagi kanak-kanak, aku
tidak lagi gemar bermain dengan engkau," jawab budak remaja itu. "Aku
mahukan permainan. Aku perlukan wang untuk membelinya," tambah budak
remaja itu dengan nada yang sedih. Lalu pokok epal itu berkata, "Kalau
begitu, petiklah epal-epal yang ada padaku. Jualkannya untuk mendapatkan wang.
Dengan itu, kau dapat membeli permainan yang kau inginkan." Budak remaja
itu dengan gembiranya memetik semua epal di pokok itu dan pergi dari situ. Dia
tidak kembali lagi selepas itu. Pokok epal itu merasa sedih.
Masa berlalu... Suatu hari, budak remaja itu
kembali. Dia semakin dewasa. Pokok epal itu merasa gembira. "Marilah
bermain-mainlah di sekitarku," ajak pokok epal itu. "Aku tiada masa
untuk bermain. Aku terpaksa bekerja untuk mendapatkan wang. Aku ingin membina
rumah sebagai tempat perlindungan untuk keluargaku. Bolehkah kau
menolongku?" Tanya budak itu. "Maafkan aku. Aku tidak mempunyai
rumah. Tetapi kau boleh memotong dahan-dahanku yang besar ini dan kau buatlah
rumah daripadanya." Pokok epal itu memberikan cadangan. Lalu, budak yang
semakin dewasa itu memotong kesemua dahan pokok epal itu dan pergi dengan
gembiranya. Pokok epal itu pun tumpang gembira tetapi kemudiannya merasa sedih
kerana budak itu tidak kembali lagi selepas itu.
Suatu hari yang panas, seorang lelaki datang
menemui pokok epal itu. Dia sebenarnya adalah budak lelaki yang pernah
bermain-main dengan pokok epal itu. Dia telah matang dan dewasa."Marilah
bermain-mainlah di sekitarku," ajak pokok epal itu. "Maafkan aku,
tetapi aku bukan lagi budak lelaki yang suka bermain-main di sekitarmu. Aku
sudah dewasa. Aku mempunyai cita-cita untuk belayar. Malangnya, aku tidak
mempunyai bot. Bolehkah kau menolongku?" tanya lelaki itu. "Aku tidak
mempunyai bot untuk diberikan kepada kau. Tetapi kau boleh memotong batang pokok
ini untuk dijadikan bot. Kau akan dapat belayar dengan gembira," cadang
pokok epal itu.Lelaki itu merasa amat gembira dan menebang batang pokok epal
itu. Dia kemudiannya pergi dari situ dengan gembiranya dan tidak kembali lagi
selepas itu.
Namun begitu, pada suatu hari, seorang lelaki yang
semakin dimamah usia, datang menuju pokok epal itu. Dia adalah budak lelaki
yang pernah bermain di sekitar pokok epal itu. "Maafkan aku. Aku tidak ada
apa-apa lagi nak diberikan kepada kau. Aku sudah memberikan buahku untuk kau
jual, dahanku untuk kau buat rumah, batangku untuk kau buat bot. Aku hanya ada
tunggul dengan akar yang hampir mati... " kata pokok epal itu dengan nada
pilu. "Aku tidak mahu epalmu kerana aku sudah tiada bergigi untuk
memakannya, aku tidak mahu dahanmu kerana aku sudah tua untuk memotongnya, aku
tidak mahu batang pokokmu kerana aku berupaya untuk belayar lagi, aku merasa
penat dan ingin berehat," jawab lelaki tua itu. "Jika begitu,
berehatlah di perduku," cadang pokok epal itu. Lalu lelaki tua itu duduk
berehat di perdu pokok epal itu dan berehat. Mereka berdua menangis
kegembiraan.
CERITA INI
DIPAPARKAN UNTUK MENGAJAK PARA REMAJA BERFIKIR TENTANG PENGAJARAN YANG DAPAT
DIAMBIL DI SEBALIK CERITA TERSEBUT. SEBENARNYA, POKOK EPAL YANG DIGAMBARKAN DI
DALAM CERITA ITU DIANALOGIKAN SEBAGAI KEDUA-DUA IBU BAPA KITA. BILA KITA MASIH
MUDA, KITA SUKA BERMAIN DENGAN MEREKA. KETIKA KITA MENINGKAT REMAJA, KITA
PERLUKAN BANTUAN MEREKA UNTUK MENERUSKAN HIDUP. KITA TINGGALKAN MEREKA, DAN
HANYA KEMBALI MEMINTA PERTOLONGAN APABILA KITA DI DALAM KESUSAHAN. NAMUN
BEGITU, MEREKA TETAP MENOLONG KITA DAN MELAKUKAN APA SAHAJA ASALKAN KITA
BAHAGIA DAN GEMBIRA DALAM HIDUP. ANDA MUNGKIN TERFIKIR BAHAWA BUDAK LELAKI ITU
BERSIKAP KEJAM TERHADAP POKOK EPAL ITU, TETAPI FIKIRKANLAH, ITU HAKIKATNYA
BAGAIMANA KEBANYAKAN ANAK-ANAK MASA KINI MELAYAN IBU BAPA MEREKA. HARGAILAH
JASA IBU BAPA KEPADA KITA. JANGAN HANYA KITA MENGHARGAI MEREKA SEMASA MENYAMBUT
HARI IBU DAN HARI BAPA SETIAP TAHUN. SEMOGA MEMBERIKAN KEINSAFAN DAN KESEDARAN KEPADA
PARA REMAJA.











.jpg)
No comments:
Post a Comment